Banner 468x60

Banner 468x60

Neelofa jadi artis untuk jenamakan diri

Neelofa jadi artis untuk jenamakan diri

UMUM sudah mengetahui mengenai percintaan antara Neelofa dan Hans Issac yang sedang galak memadu kasih.

Namun, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor itu berkata, banyak lagi perkara yang harus didahulukan dalam memperkukuh perniagaannya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Apabila semuanya sudah dicapai, sasaran saya seterusnya adalah untuk bersuami dan mempunyai zuriat.

"Saya tidak boleh meramalkan bila saya akan menamatkan zaman bujang kerana kalau diikutkan saya sangat sibuk menguruskan perniagaan dan karier seni.


"Tidak adil rasanya apabila pasangan saya membuat persiapan perkahwinan manakala saya sibuk berniaga," ujar Neelofa ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Memiliki Neelofa Enterprise dan Neelofa Sdn. Bhd. yang menjual produk abaya dan kanta lekap, Neelofa berkata, dia menyertai dunia hiburan kerana mahu mencari platform bagi meluaskan rangkaian perniagaan.

"Kehadiran saya dalam industri seni ada matlamat. Saya mahu memperkenalkan jenama saya sebagai usaha mengukuhkan masa depan.

"Jiwa saya lebih kepada perniagaan kerana bidang itu lebih menjamin masa depan serta memberi kepuasan. Namun, dalam masa yang sama saya masih memberi fokus terhadap kerjaya seni," jelas Neelofa yang kini berumur 25 tahun.

Menurut Neelofa, dia menggunakan 100 peratus wang simpanannya untuk memulakan bisnes.

"Modal perniagaan yang sedang saya usahakan hasil wang pendapatan dalam bidang seni.

"Alhamdulillah, jubah atau abaya yang saya usahakan mendapat sambutan yang luar biasa. Dalam tempoh sebulan sehingga 10 Mei lalu, sebanyak 1,000 helai telah terjual," kata Neelofa.

Menjawab dakwaan kononnya dia berniaga kerana terikut-ikut trend artis sekarang gemar mempunyai perniagaan sendiri, Neelofa bertegas, dia sebenarnya lahir dalam keluarga usahawan.

"Keluarga saya terdiri daripada usahawan. Saya menceburkan diri dalam dunia perniagaan sejak berumur 20 tahun. Ketika itu saya bekerja sebagai model iklan.

"Dakwaan saya meniru perniagaan artis lain itu kurang tepat kerana saya sudah pun memulakan perniagaan atas talian sebelum bergelar pelakon lagi," jelas Neelofa.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman menguruskan perniagaan tanpa bantuan ahli keluarga, Neelofa mengatakan ada kebaikan serta keburukan apabila melibatkan ahli keluarga dalam perniagaan.

"Sebelum ini terdapat dua perniagaan saya yang membabitkan keluarga. Tapi kali ini saya mahu menjalankan perniagaan bersama pasukan saya sendiri.

"Apabila berurusan dengan keluarga, masalah yang dihadapi di tempat kerja itu akan berlarutan sehingga ke rumah dan mungkin ada yang terasa hati.

"Kali ini saya cuba bekerja dengan orang lain kerana mahu menambah ilmu serta pengalaman," katanya.

Terbaru, pelakon popular menerusi filem Lemak Kampung Santan itu mengakui sedang mempertimbangkan tawaran untuk membintangi sebuah filem aksi yang dijadual memulakan penggambaran bulan depan.-Kosmo